Skandal Watergate

Skandal Watergate adalah skandal politik yang berlaku dalam tahun 1970an akibat daripada kejadian pecah masuk ke dalam ibu pejabat Jawatankuasa Kebangsaan Demokrat di kompleks pejabat Watergate dan cubaan pentadbiran Presiden Richard Nixon menutup penglibatannya hingga menyebabkan dia terpaksa meletakkan jawatan.

Presiden Nixon cuba menutup skandal ini selama dua tahun. Skandal ini akhirnya membawa kepada perletakan jawatannya sebagai presiden pada 9 Jun 1974. Dia merupakan satu-satunya presiden Amerika Syarikat yang meletakkan jawatan.

Perkara ini bermula dengan penangkapan lima orang lelaki kerana memecah masuk ibu pejabat Jawatankuasa Demokrat Kebangsaan (DNC) di kompleks Watergate pada 17 Jun 1972. Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berjaya mengaitkan wang tunai yang ditemui pada pencuri kepada dana yang digunakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Semula Presiden (CREEP), iaitu sebuah organisasi rasmi kempen Nixon. Pada bulan Julai 1973, disebabkan semakin banyak bukti, termasuk testimoni yang diberikan oleh bekas kakitangan dalam penyiasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Senat Watergate, mendedahkan bahawa Presiden Nixon mempunyai sistem pita rakaman di pejabat dan dia telah merekodkan banyak perbualan. Rakaman daripada pita ini mengaitkan presiden, mendedahkan dia cuba untuk menutup perkara-perkara yang meragukan (dan melanggar undang-undang) yang berlaku selepas pecah masuk.

Selepas beberapa siri perbicaraan mahkamah yang panjang dan memenatkan, Mahkamah Agung Amerika Syarikat sebulat suara memutuskan bahawa presiden perlu menyerahkan pita-pita rakaman itu kepada penyiasat kerajaan; yang kemudian dipatuhi olehnya.

Nixon yang hampir pasti dipecat di Dewan Perwakilan A.S. dan berkemungkinan besar disabitkan kesalahan itu di Dewan Senat A.S. akhirnya meletak jawatan presiden pada 9 Ogos 1974. Penggantinya, Gerald Ford kemudian memaafkan Nixon.

Perkataan Watergate secara khusus merujuk kepada Watergate Hotel di Washington D.C. Hari ini ia satu istilah merujuk kepada konspirasi politik, rasuah, penggunaan harta awam untuk kepentingan peribadi dan secara umumnya penyalahgunaan kuasa politik.


Pecah masuk

Kompleks Watergate

Kejadian ini dilakukan pada 17 Jun 1972. Tindakan ini adalah untuk mencuri maklumat daripada Parti Demokrat dan memintas sistem komunikasi Parti Demokrat. Presiden Nixon adalah daripada Parti Republik.

Kejadian pecah masuk Watergate disebabkan persaingan hebat politik 1960-an. Menjelang tahun 1972, ketika Presiden Nixon masuk bertanding untuk dipilih semula sebagai presiden, Amerika Syarikat terlibat dalam Perang Vietnam (1955-1975) dengan perpecahan dalam negara yang mendalam. Dalam suasana politik yang teruk seperti itu, kempen presiden memerlukan taktik agresif pengintipan haram. Pada bulan Mei 1972, ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan Semula Presiden (dikenali sebagai Creep) memecah masuk ke ibu pejabat Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik di Watergate, serta mencuri salinan dokumen-dokumen rahsia dan memasang alat pengintipan pada telefon.

Pemasangan alat pengintipan telekomunikasi gagal berfungsi dengan baik. Jadi pada 17 Jun kumpulan pemecah masuk itu kembali ke bangunan Watergate. Ketika mereka bersiap sedia untuk memecah masuk ke dalam pejabat dengan alat pengintipan baru, seorang pengawal keselamatan menyedari kehadiran mereka di dalam bangunan. Pengawal itu menghubungi polis, yang tiba tepat pada masanya untuk menangkap mereka.

Mereka yang ditangkap pada 17 Jun 1972 di pejabat Watergate Jawatankuasa Demokratik Kebangsaan adalah:

  1. Bernard L. Barker – seorang agen hartanah dari Miami, Florida. Dia merupakan bekas agen CIA. Barker dikatakan terlibat dalam insiden Bay of Pigs pada 1962.
  2. Virgilio R. Gonzales – seorang tukang kunci dari Miami, Florida. Gonzalez adalah pelarian dari Cuba selepas rampasan kuasa oleh Castro.
  3. James W. McCord – seorang penyelaras keselamatan daripada Jawatankuasa Kebangsaan Republikan (RNC) dan Jawatankuasa Pilihan Raya Semula Presiden. McCord juga adalah bekas agen FBI dan CIA. Dia dipecat daripada jawatannya di RNC dan CREEP sehari selepas pecah masuk.
  4. Eugenio R. Martinez – bekerja dengan sebuah firma hartanah. Dia mempunyai hubungan dengan CIA dan orang buangan Cuba yang anti-Castro.
  5. Frank A. Sturgis – bekerja dengan firma hartanah yang sama dengan Martinez, dia juga mempunyai hubungan dengan CIA dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti anti-Castro.

Kelima-lima lelaki ini disabitkan dengan cubaan pecah masuk dan cubaan memasang alat pengintipan. Mereka dijatuhi hukuman oleh juri pada 15 September. Selain mereka berlima, dua orang lain yang dijatuhi hukuman adalah:

  1. G. Gordon Liddy – dari Washington, penasihat kepada Jawatankuasa Kewangan untuk Pilihan Raya Semula Presiden, bekas ejen FBI, bekas pegawai Perbendaharaan, dan bekas kakitangan Rumah Putih. Semasa siasatan, Liddy enggan menjawab soalan dan dipecat daripada jawatannya.
  2. E Howard Hunt Jr. – dari Washington, bekas konsultan Rumah Putih dan kakitangan CIA. Hunt adalah seorang penulis novel perisikan dan pernah bekerja dalam pengubahan status rahsia Kertas Pentagon.

Pada mulanya kaitan mereka dengan presiden tidak jelas, namun syak wasangka timbul apabila penyiasat menemui salinan nombor telefon jawatankuasa pemilihan semula Rumah Putih pada barang-barang pemecah masuk. Pada bulan Ogos, Nixon telah memberikan ucapan di mana dia bersumpah bahawa kakitangannya di White House tidak terlibat dalam kejadian pecah masuk. Kebanyakan pengundi percaya kepadanya, dan pada bulan November presiden telah dipilih semula dengan kemenangan besar.

Bahasa lain
azərbaycanca: Uotergeyt qalmaqalı
Bahasa Indonesia: Skandal Watergate
Basa Jawa: Gendra Watergate
bosanski: Watergate
български: Уотъргейт
čeština: Aféra Watergate
euskara: Watergate
galego: Watergate
hrvatski: Afera Watergate
interlingua: Watergate
Lëtzebuergesch: Watergate-Affär
Nederlands: Watergateschandaal
norsk nynorsk: Watergate-skandalen
oʻzbekcha/ўзбекча: Uotergeyt ishi
Plattdüütsch: Watergate-Schandaal
português: Caso Watergate
Simple English: Watergate scandal
slovenčina: Aféra Watergate
slovenščina: Afera Watergate
српски / srpski: Афера Вотергејт
srpskohrvatski / српскохрватски: Watergate
Tiếng Việt: Vụ Watergate
粵語: 水門事件
中文: 水门事件