Jam (alat)

Jam ialah alat yang digunakan untuk menunjukkan waktu. Jam merupakan salah satu ciptaan manusia terawal, yang memenuhi keperluan mengukur selang waktu yang lebih singkat daripada hari, iaitu saat, minit dan jam, manakala takwim (kalendar) digunakan untuk menghitung hari, bulan dan tahun.

Jam di Balai Cerap Diraja, Greenwich

Jenis

Jam matahari

Jam matahari yang menyukat waktu dengan cahaya matahari digunakan secara meluas pada zaman kuno. Jam matahari yang bagus boleh menyukat waktu suria tempatan setepat-tepatnya. Jam matahari kekal sebagai alat pemerhatian prestasi jam mekanik sehingga zaman moden. Namun, jam matahari memerlukan cahaya matahari dan tidak berguna pada waktu malam, jadi perlunya teknik lain untuk menyukat waktu.

Jam lilin dan colok yang mengecil pada kelajuan yang sekata juga digunakan untuk menganggar peredaran masa. Jam pasir pula bercirikan pasir halus yang melalui liang kecil pada kadar yang sekata sebagai penunjuk peredaran masa.

Jam air

Model Skala Menara Jam Falak binaan Su Song yang dibina di Kaifeng, China pada abad ke-11. Jam ini dipacu oleh kincir air, pemacu rantai, dan mekanisme bolosan.

Selain jam matahari, jam air atau klepsidra juga antara alat waktu tertua di dunia, selain paku bayang menegak dan kayu gundal yang menghitung hari. [1] Sukar sekali dipastikan bila dan di mana jam air mula-mula wujud. Jam air beraliran keluar berbentuk mangkuk adalah bentuk jam air yang teringkas dan diketahui wujud di Babylon dan Mesir sekitar abad ke-16 SM. Bukti jam air terawal juga ditemui di tempat-tempat lain seperti India dan China, tetapi tarikh terawal penggunaannya kurang pasti. Sesetengah sejarawan menulis bahawa jam air muncul di kawasan-kawasan tersebut seawal-awal 4000. [2]

Seorang ahli falak berbangsa Yunani, Andronicus dari Cyrrhus, menyelia pembinaan Menara Angin di Athens pada abad pertama SM. [3] Tamadun Yunani dan Rom Purba dihargai kerana merekalah yang mula-mula memajukan reka bentuk jam air untuk merangkumi penggearan yang rumit [4] yang disambungkan dengan boneka di samping meningkatkan kejituan jam. Kemajuan ini diwariskan kepada zaman kegemilangan Byzantium dan Islam sebelum menembusi Eropah pada Zaman Pertengahan. Sementara itu, masyarakat China membangunkan jam air sendiri pada tahun 725 M, kemudian menghulurkan gagasan mereka kepada Korea dan Jepun.

Jam automatik ciptaan al-Jazari, abad ke-12.

Pada tahun 797 (atau 801), Khalifah Abbasiyah dari Baghdad, Harun al-Rashid, mempersembahkan ciptaan jam air yang "begitu berhias" [5] bersama seekor Gajah Asia bernama Abul-Abbas kepada Maharaja Charlemagne.

Jam mekanik terawal

Tidak satu pun jam terawal selewat abad ke-13 yang masih wujud di Eropah, tetapi mujurlah catatan gereja sempat merakam sedikit sebanyak sejarah jam yang sebegitu awal.

Istilah horologia (dari bahasa Yunani: ὡρα, jam (waktu), dan λέγειν, memberitahu) digunakan untuk menamakan segala jenis alat yang kini bergelar jam, tetapi penggunaan perkataan ini (yang masih terdapat atau meninggalkan kesan dalam beberapa bahasa Romawi) untuk segala jenis perakam waktu merahsiakan sifat sebenar mekanismenya dari kita. Contoh, dirakam pada tahun 1176 satu khabar bahawa Gereja Besar Sens memasang sebuah ‘horologe’ tetapi tidak diketahui mekanismenya. Menurut Jocelin dari Brakelond, pada tahun 1198 ketika berlakunya kebakaran di biara St Edmundsbury (kini Bury St Edmunds), para rahib 'bergegas ke arah jam' untuk mengambil air, menunjukkan bahawa jam air mereka juga bertindak sebagai takungan air besar yang cukup untuk memadamkan api ketika itu. [6]

Mekanisme baru

Di luar Eropah, mekanisme bolosan dikenali dan digunakan di China pada zaman pertengahan, apabila ahli horologi dan jurutera Dinasti Song, Su Song (1020–1101) menerapkannya ke dalam ciptaan menara jam astronominya di Kaifeng pada tahun 1088. [7] Namun, jam astronomi dan sfera armila berputarnya masih bergantung pada penggunaan aliran air (iaitu hidraulik), padahal sawat jam Eropah pada abad-abad berikutnya sudah melucutkan tabiat lama ini demi kuasa pacuan beban yang lebih cekap di samping mekanisme bolosan.

Jam raksa yang diperikan dalam kertas kerja Sepanyol Libros del saber dari 1277 M yang mengandungi terjemahan dan parafrasa dari kertas kerja Arab, turut dijadikan bukti untuk pengetahuan jam mekanik dalam dunia Islam. Bagaimanapun, peranti berkenaan sebenarnya merupakan jam air silinder berpetak yang dibina oleh "Iran" ( Hero dari Iskandariah), menurut pengarang bahagian kertas kerja berkenaan yang berbangsa Yahudi, Rabai Isaac. [8]

Dari tahun 1280 hingga 1320, jam dan horologe semakin banyak disebut dalam catatan gereja. Mungkin inilah petanda bahawa terciptanya sejenis mekanisme jam yang baru. Mekanisme jam sedia ada yang menggunakan kuasa air disesuaikan untuk memperoleh kuasa pacuannya dari pemberat menurun. Kuasa ini dikawal oleh sebentuk mekanisme berayun yang mungkin berasal dari peranti pembunyian loceng yang wujud ketika itu. Pelepasan kuasa terkawal ini ( bolosan) menandakan kelahiran jam mekanik yang sejati.

Jam mekanik ini ada dua tujuan utama, iaitu: pengisyaratan dan pemberitahuan (cth. pemasaan perkhidmatan dan acara awam) untuk kegunaan pentadbiran, dan pemodelan sistem suria untuk kegunaan cendekiawan dalam bidang astronomi, sains, astrologi dan persepaduan ilmu-ilmu tersebut dengan falsafah masa keagamaan. Astrolab digunakan oleh ahli astronomi dan astrologi, maka tidak hairanlah pacuan sawat jam digunakan pada plat berputar untuk menghasilkan model sistem suria yang berfungsi.

Jam ringkas yang bertujuan pemberitahuan sahaja dipasang pada menara, dan tidak semestinya ada muka dan jarum. Ia pasti digunakan untuk mengumumkan jam berkanun atau selang antara waktu-waktu sembahyang. Jam berkanun berbeza-beza panjangnya mengikut perubahan waktu matahari terbit dan terbenam. Jam astronomi yang lebih canggih memperlihatkan muka atau jarum yang bergerak, serta menunjukkan waktu dalam pelbagai sistem masa, termasuk "jam Itali" (24 jam yang bermula pada waktu matahari terbenam/senja), jam berkanun, dan juga sistem masa khusus yang diamalkan oleh para astronomi pada zaman itu. Kedua-dua gaya jam tersebut mula menggunakan ciri-ciri mewah seperti boneka automaton.

Perkembangan selanjutnya

Tukang jam mengambil pelbagai cara untuk mengembangkan kesenian mereka. Pembuatan jam kecil mencabar dari segi teknikal, begitu juga dengan penambahbaikan kejituan dan keutuhannya. Jam boleh dijadikan kemegahan yang mengagumkan yang menyerlahkan kemahiran ketukangan, ataupun barang keluaran besar-besaran murah untuk kegunaan dalam rumah. Bolosan adalah faktor utama yang mempengaruhi kepersisan jam, jadi bermacam-macam mekanisme telah dicuba untuk tujuan ini.

Jam pacuan spring muncul pada abad ke-15, [9] [10] [11] walaupun pernah disalah anggap bahawa tukang jam Peter Henlein di Nürnberg yang menciptanya sekitar tahun 1511. [12] [13] [14] Jam pacuan spring terawal yang masih wujud adalah jam kamar yang dihadiahkan kepada Peter sang Baik, Adipati Burgundy, sekitar tahun 1430, dan kini disimpan di Germanisches Nationalmuseum. [10] Kuasa spring juga menimbulkan masalah baru pada tukang jam, iaitu bagaimana untuk memastikan pergerakan jam berterusan pada kadar yang malar apabila spring menjadi lesu. Hasilnya adalah penciptaan stackfreed dan fusee pada abad ke-15, disusuli banyak lagi inovasi, sehingga penciptaan going barrel moden pada tahun 1760.

Permukaan jam awal hanya menunjuk nilai jam, tiada minit dan saat. Jam yang menunjuk minit pada mukanya digambarkan dalam manuskrip tulisan Paulus Almanus pada tahun 1475. [15] Terdapat beberapa jam buatan abad ke-15 di Jerman yang menunjuk minit dan saat. [16]

Pada abad ke-15 dan ke-16, pertukangan jam semakin mekar, terutamanya di bandar-bandar pertukangan logam Nuremberg dan Augsburg, dan di Blois, Perancis. Ada jam meja ringkas yang hanya berjarun satu, dengan selang antara penanda jam dibahagikan kepada empat suku agar jam boleh dibaca setepat-tepat 15 minit terdekat. Sementara itu, jam juga berupa pertunjukan ketukangan dan kemahiran yang mengandungi petunjuk astronomi dan animasi bermuzik. Bolosan silang rentak dicipta oleh Jost Bürgi, juga pemaju remontoire, pada tahun 1584. Jam ciptaan Bürgi ini merupakan kemajuan besar dalam kepersisan jam kerana waktunya tepat pada seminit sehari. [17] [18] Jam-jam ini membantu ahli astronomi abad ke-16, Tycho Brahe memerhati peristiwa astronomi dengan lebih persis daripada dahulunya.

Jam astronomi pacuan pemberat mekanik yang dilengkapi bolosan verge-and-foliot, pawai gear pemukul, penggera, dan perlambangan kitaran bulan diperikan oleh jurutera Uthmaniyyah, Takiyuddin dalam bukunya, Al-Kawākib al-durriyya fī wadh' al-bankāmat al-dawriyya ("Bintang-Bintang Paling Terbilang untuk Pembinaan Jam Jentera"), published in 1556-1559. [19] Serupa dengan jam loceng Eropah seawal abad ke-15, [20] [21] ia mampu berdenting pada waktu tertentu dengan pasak yang terletak pada roda muka jam. Pada waktu yang sepatutnya, pasak itu menghidupkan peranti dentingan. Jam ini ada tiga muka yang masing-masing menunjuk nilai jam, darjah dan minit. Kemudian, Takiyuddin menghasilkan sebuah jam cerap untuk Balai Cerap Taqi al-Din di Istanbul (1577–1580). Beliau memerikannya sebagai "sejenis jam jentera bermuka tiga yang menghitung nilai jam, minit dan saat." Inilah salah satu inovasi penting dalam amalan astronomi abad ke-16, memandangkan pada awal abad itu, jam-jam yang sedia ada belum cukup sesuai untuk kegunaan astronomi. [22]

Jam pendakap rokoko Perancis, (Muzium Masa, Besançon)

Perkembangan memperbaiki kejituan jam melangkah maju lagi dengan penciptaan jam bandul selepas tahun 1656. Galileo membayangi penggunaan ladung berayun untuk mengawal pergerakan alat perakam masa pada awal abad ke-17. Namun begitu, Christiaan Huygens dianggap sebagai penciptanya, kerana beliau menentukan rumus matematik yang mengaitkan kepanjangan bandul dengan masa (99.38 cm atau 39.13 ini untuk pergerakan satu saat), lantas menzahirkan jam pacuan bandul pertama di dunia.

Salah satu perangsang utama untuk mempertingkat kejituan dan keutuhan jam adalah kepentingan penjagaan masa persis untuk tujuan pelayaran. Kedudukan kapal di laut boleh ditentukan dengan setepat-tepatnya jika pelayar boleh membaca jam yang terkurang atau terlebih sepuluh saat sehari. Jam ini tidak boleh ada bandul, kerana tidak boleh dipakai dalam kapal yang bergolak. Banyak kerajaan Eropah yang menawarkan habuan besar untuk sesiapa yang boleh menentukan garisan bujur dengan setepat-tepatnya; misalnya, Great Britain menawarkan 20,000 paun, bersamaan jutaan ringgit pada zaman sekarang. Ganjarannya jatuh di tangan John Harrison pada tahun 1761, kerana beliau mengabdikan hidupnya untuk meningkatkan kejituan jam-jamnya. Ciptaan jam H5-nya cuma mengalami ralat kurang 5 saat sepanjang 10 minggu. [23]

Keterujaan terhadap jam bandul telah menarik perhatian para pereka, sehingga menyebabkan resulting in a bertambahnya kepelbagaian bentuk jam di dunia, terutamanya jam besar berdiri yang dicipta untuk menempatkan bandul dan sawat jam. Penghargaan diberikan kepada tukang jam Inggeris, William Clement kerana memajukan bentuk jam ini sekitar tahun 1670–71. Pada masa yang sama, kulit jam juga semakin banyak diperbuat daripada kayu manakala muka jam menggunakan enamel dan tembikar berlukis tangan.

Jam perpuluhan Perancis dari zaman Revolusi Perancis

Pada 17 November 1797, Eli Terry menerima paten pertamanya untuk satu ciptaan jam. Terry dikenali sebagai pengasas industri pertukangan jam Amerika Syarikat.

Tukang jam Scotland, Alexander Bain, mempatenkan ciptaan jam elektrik pada tahun 1840. Pegas utama jam elektrik dikunci dengan motor elektrik atau elektromagnet dan angker. Pada tahun 1841, beliau mempatenkan bandul elektromagnet pertama.

Perkembangan elektronik pada abad ke-20 menghasilkan jenis-jenis jam yang langsung tiada sawat jam, sebaliknya waktu dirakam dengan cara-cara lain seperti getaran garpu tala, kelakuan hablur kuarza atau getaran kuantum atom. Jam mekanik pun kebanyakannya dijana oleh bateri.

Bahasa lain
адыгабзэ: Сыхьат
Alemannisch: Uhr
العربية: ساعة (آلة)
aragonés: Reloch
asturianu: Reló
azərbaycanca: Saat
تۆرکجه: ساعات
Bahasa Indonesia: Jam (alat)
বাংলা: ঘড়ি
Basa Sunda: Jam témbok
башҡортса: Сәғәт
беларуская: Гадзіннік
беларуская (тарашкевіца)‎: Гадзіньнік
Boarisch: Uah
brezhoneg: Ur
български: Часовник
català: Rellotge
Чӑвашла: Сехет (хатĕр)
čeština: Hodiny
Cymraeg: Cloc
dansk: Ur
Deutsch: Uhr
eesti: Kell
Ελληνικά: Ρολόι
emiliàn e rumagnòl: Arlói
English: Clock
español: Reloj
Esperanto: Horloĝo
euskara: Erloju
فارسی: ساعت
Gaeilge: Clog
galego: Reloxo
贛語:
한국어: 시계
Հայերեն: Ժամացույց
Ilokano: Pagorasan
interlingua: Horologio
Interlingue: Horloge
isiZulu: Iwashi
íslenska: Klukka
italiano: Orologio
עברית: שעון
ಕನ್ನಡ: ಗಡಿಯಾರ
ქართული: საათი
kaszëbsczi: Zédżer
қазақша: Сағат
Кыргызча: Саат
Kiswahili: Saa (ala)
ລາວ: ໂມງ
Latina: Horologium
latviešu: Pulkstenis
Lëtzebuergesch: Auer
lietuvių: Laikrodis
македонски: Часовник
മലയാളം: ഘടികാരം
मराठी: घड्याळ
Mìng-dĕ̤ng-ngṳ̄: Cṳ̆ng
Mirandés: Reloijo
မြန်မာဘာသာ: နာရီ
Nederlands: Klok (tijd)
नेपाल भाषा: ईलचं
日本語: 時計
norsk nynorsk: Klokke
occitan: Relòtge
oʻzbekcha/ўзбекча: Soat (asbob)
ਪੰਜਾਬੀ: ਘੜੀ
پنجابی: گھڑی
پښتو: گړيال
Patois: Klak
Plattdüütsch: Klock (Tiet)
polski: Zegar
português: Relógio
română: Ceas
Runa Simi: Pacha tupuq
русский: Часы
Scots: Knock
shqip: Ora
sicilianu: Rulòggiu
Simple English: Clock
slovenčina: Hodiny
slovenščina: Ura (naprava)
Soomaaliga: Goorsheegto
کوردی: کاتژمێر
српски / srpski: Часовник
srpskohrvatski / српскохрватски: Sat (predmet)
suomi: Kello
svenska: Ur
தமிழ்: கடிகாரம்
татарча/tatarça: Сәгать (корал)
తెలుగు: క్లాక్
Tiếng Việt: Đồng hồ
Türkçe: Saat
українська: Годинник
اردو: گھنٹا
vèneto: Rolojo
vepsän kel’: Časud
Võro: Kell
Winaray: Relo
ייִדיש: זייגער
粵語:
žemaitėška: Dzieguorios
中文: 時鐘